Saturday, September 20, 2008

HIKMAH KEPADA YANG BERFIKIR

18 September 2008

Catatan Untuk Abah
Hari ini abah akan berangkat untuk menunai umrah ke Makkah. Jam sebelas pagi abah sudah bertolak dari rumah bersama emak, abang dan kakak iparku. Aku pula akan menyusul kemudian. Namun begitu entah apa malangnya, aku tidak sempat sampai ke KLIA untuk menghantar abah. Abah telahpun masuk ke balai berlepas jam 2 petang. Kapal terbang abah adalah pada jam 3 petang. Aku rasa amat terkilan. Hanya doa dari jauh kuhantar kepada abah.

Flash back
Aku sempat pulang ke kampung menziarahi nenek (ibu kepada abah ) yang memang kami jaga sejak 15 belas tahun lalu. Kesempatan itu aku gunakan untuk menjenguk nenek yang hanya terbaring. entah kenapa, abah mengutarakan hasratnya untuk menghantar nenek ke Kampung nenek sepanjang abah berada di Makkah, kerana yang tinggal hanya ibuku di rumah kami.

Sebenarnya kami adik beradik sudah berhasrat untuk menjaga nenek dirumah kami. bagi kami tak perlulah abah meminta tolong sepupu abah untuk menjaga nenek dikampung asal kelahiran nenek. Namun abah tetap berhasrat untuk menghantar nenek.
Abah juga asyik berpesan, sekalipun kami yang menjaga nenek dirumah kami, jika apa-apa yang terjadi pada nenek sepanjang abah di Makkah abah berpesan agar nenek dapat dikebumikan di Kampung nenek iaitu di Kampung Pesagi, Chenor.

Aku teringat sewaktu abah dan emak menunaikan haji di Makkah dulu, abah tidaklah berniat menghantar nenek, aku yang kebetulan berpantang di Rumah kami lah yang menjaga nenek dikampung bersama suami. namun kali ini amat berbeza sekali, abah telahpun merasai sesuatu yang bakal berlaku.

Namun apa yang terjadi tetap terjadi, Allah Maha berkuasa menentukan setiap apa yang berlaku. Sewaktu abah masih di dalam Flight, kami mendapat panggilan telefon dari sepupu abah yang menjaga nenek bahawa nenek sedang uzur dan semakin lemah.

Kami pun merancang untuk pulang ke kampung pesagi pada keesokan hari. Emak pula asyik merasakan sesuatu, bahawa mungkin berlaku sesuatu pada nenek malam ini. Dan Jam 10 malam, sekali lagi kami mendapat panggilan telefon bahawa nenek telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Innalillahirajiun.

Jam 11 malam kami semua bergegas pulang ke kampung dari kuala lumpur. sepanjang perjalanan aku berfikir panjang. apa hikmahnya. Hari abah pergi ke Makkah, hari itulah ibunya telah pergi ke Rahmatullah. Sewaktu kami sampai ke Kampung pesagi jam 3 pagi. abah baru sampai ke Madinah.

Sewaktu abang mahu menyampaikan berita kematian nenek, abah menjawab bahawa dia telah tahu berita tersebut. dia sebenarnya dapat rasakan sesuatu

19 September 2008
Aku berkesempatan memandikan jenazah nenek, nenek kelihatan seperti orang sedang tidur lena, walaupun tubuhnya sudah kaku dan keras. Sejak nenek pergi aku semakin berfikir. bertuahnya nenek dapat menghembuskan nafas pada malam jumaat, dan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Sebenarnya dijangka nenek akan dikebumikan sebelum solat Jumaat, namun disebabkan kemudahan yang tidak mencukupi di Kampung pesagi kerana enjin menyedut air sungai telah rosak ( penduduk kampung pesagi adalah kampung tradisional ). namun sekali lagi hikmahnya , bahawa nenek akan dikebumikan selepas solat jumaat maka nenek berkesempatan disolatkan di Masjid selepas solat Jumaat. Bertuahnya jenazah nenek yang disolatkan lebih dari 40 jemaah. bertuahnya juga nenek kerana sewaktu kematiannya, anaknya sedang mendoakannya di tanah suci, Madinah Al Munawwarah.

Flashback
Aku berfikir lagi, apa hikmahnya nenek pergi sewaktu hari abah pergi ke Makkah. Apakah nenek berhasrat tidak mahu anaknya mengadap kematiannya?
Seingat cerita yang pernah aku tahu, abah seorang anak yang taat, sewaktu abah sedang belajar pondok di Kedah, nenek meminta abah pulang. hasrat abah untuk menyambung pengajian ke Mesir tidak kesampaian, sepanjang yang aku tahu juga abah memang seorang yang kuat agama dan taat kepada ibunya.

Hikmah kepada yang berfikir

No comments: